FENOMENA pembuangan kerja kini tidak boleh lagi dikaitkan dengan kemerosotan ekonomi semata-mata kerana perkara itu turut didorong oleh pelaksanaan sistem automasi di tempat kerja.

Ini kerana pelaksanaan sistem automasi yang lebih menjimatkan kos memaksa syarikat menukar strategi perniagaan masing-masing hingga menyaksikan lebih ramai pekerja terpaksa dibuang.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan sebelum ini memberi amaran tiga sektor paling berisiko tinggi berdepan pembuangan ialah sektor pembuatan, peruncitan dan kewangan susulan pelaksanaan sistem automasi.

Malah katanya, lebih ramai pekerja mungkin dibuang tahun ini di Malaysia.

Pada 2016, 40,000 pekerja diberhentikan sementara lebih 17,000 lagi dibuang sehingga Jun tahun ini.

Pada 2015, 44,000 pekerja diberhentikan dan 18,000 daripadanya adalah daripada sektor perbankan, susulan langkah industri kewangan yang melaksanakan sistem perbankan dalam talian.

Dalam pada itu, kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyatakan antara tahun 2015 dan 2020, lebih 5 juta pekerjaan akan digantikan dengan mesin.

Sementara laporan The Future of Employment oleh Universiti Oxford pada 2013 meletakkan pegawai telepemasaran, pegawai kredit dan juruwang sebagai pekerjaan paling berisiko untuk digantikan dengan mesin.

Manakala pekerja sosial, pakar terapi pemulihan serta pakar diet dan nutrisi adalah pekerjaan yang paling selamat.

Selain itu, Pengasas Syarikat Perunding DDG, Justin Tobin mencadangkan para pekerja mula mempelbagaikan kemahiran bagi menghadapi masa hadapan yang semakin mencabar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here